bukanlah penulis meletakkan ‘ramadhan’ itu sekufu mahupun seiring dengan perkara-perkara yang serupa dengan Heodonisme (hiburan yang melampau) apatah lagi me’materilistik’kan ia, sudah pasti jauh sekali untuk menodai kesucian Ramadhan Al-Mubarak.. namun fitrah manusia yang ‘bernafsu’ dengan nikmat dunia yang bersifat realiti, maka mungkin inilah bayangan mudah untuk menggambarkan betapa hebatnya Ramadhan yang didewa-dewakan dan dikultuskan silih berganti tahun berlangsung sejak ribuan tahun yang lalu…
Sepertimana di dalam Al-Quran dan Sunnah, Syurga itu dibayangkan dengan sungai-sungai yang mengalir dan taman-taman yang berbuah, dan neraka itu dipotretkan seperti aliran lava gunung berapi yang panas dan memusnah, maka bukanlah bererti keduanya itu seperti mana yang terbayang di kotak pemikiran manusia, namun hanya sekadar imbalan untuk menyampaikan berita gembira dan amaran dengan MUDAH, JELAS dan TERANG.
TUHAN RAMADHAN, TUHAN SYAWAL adalah Tuhan yang SAMA.
adapun yang mendefiniskan RAMADHAN itu dengan pelbagai akronim yang berbeza dengan tujuan untuk meraih ‘unpredictable value’ pada individu itu tersendiri untuk mendapatkan kesan yang mendalam, maka mungkin golongan yang lebih bersifat mutadayyin dan sufi suka untuk menyifatkan ramadhan itu sebagai ‘Madrasah’, sebaliknya bagi mereka yang cenderung beradptasi dengan persekitaran semasa ia dicanangkan sebagai ‘Akademi’, apa yang pasti hakikatnya kedua-duanya mempunyai satu definisi yang sama dan serupa untuk menjadikan Ramadhan itu sebagai institut pemerkasaan kompetensi diri.
suka untuk dijelaskan bahawa ramadhan itu bukanlah sekadar bulan ‘tazkiyatun nafs’ sahaja, namun ianya meliputi pakej tarbiah lengkap yang meliputi pelbagai aspek, bukan hanya terpencil mahupun pesimis dengan ibadah puasa, solat, tarawih, selawat dan zikir semata namun disebaliknya ia menuntut untuk dikaji simbolik disebalik sejarah-sejarah yang telah berlaku di dalam ramadhan.
Kekuatan Taqwa dalam Badar Al-Kubra, Aspek Strategis dalam Khandak atau Ahzab, Ketamadunan Ilmu di Andalus, mahupun Kekuatan dan Kemenangan sewaktu Fathul Makkah, maka sirah-sirah ini bukan sekadar ceritera ramadhan yang hanya untuk diulang-ulang dan diputar-putar di dalam tazkirah-tazkirah ramadhan atau ‘night tale’ bahan pemujuk tangisan si anak kecil, namun perlu untuk dicaturkan dalam kehidupan untuk memetik ‘ibrah dan khibrah di 11 bulan yang berikutnya, maka tarbiyah inilah yang dapat direlevanisasikan untuk dijadikan panduan hidup. Adakah kita terlupa?? Pendidikan yang diterima sahabat dan Salafussoleh di bulan ramadhan bukan sekadar, takbir, tahmid dan zikir, namun lebih dari itu dengan melalui rentetan peperangan, agenda keilmuan dan sebagainya, maka aspek ini jugalah merupakan ‘add value’ dan prime subject (subjek utama) yang menjadikan mereka LAGENDA sepanjang zaman
Maka inilah kemenangan yang sebenar, kemenangan SYAWAL yang kita sebenar kita damba dan raikan, kemenangan yang meliputi hijrah diri, kemenangan yang melalui sirah perjuangan nabi, oleh itu di kemenangan hari ini juga kita menantikan kelahiran seperti ‘Generasi Ahzab’ terdahulu yang pernah menggempur musuh-musuh Allah, bagi menggoncang dunia pada hari ini, maka bagi melahirkan generasi ini, pakej pentarbiahan kombinasi dari ramadhan (bagi meluluhkan dosa) dan syawal (untuk kembali kepada fitrah) perlulah diperhalusi, maka ini bertepatan seperti yang pernah diungkapkan Saidina Umar Al-Khattab sewaktu pembukaan Rom, beliau bermonolog perihal tentera-tentera ISLAM..
“..Aku lebih bimbangkan DOSA tentera mukmin berbanding kekuatan musuh..”
Maka sepatutnya ramadhan dan syawal ini perlu kita garapkan untuk kembali kepada fitrah yang bersih, secara tidak langsung SINERGI KEMENANGAN inilah yang terbentuk dari fatrah Ramadhan dan Syawal dan terus berlegasi pada bulan-bulan yang seterusnya, dan amatlah diharapkan kitalah yang mempunyai SINERGI itu dan merupakan GENERASI yang dinanti-nantikan..
Satu prolog yang cukup menarik untuk sama kita kongsi, supaya kita sedar bahawa bukanlah RAMADHAN sahaja kita membanting tenaga beribadah berzikir, tetapi ia adalah sebagai ‘booster’ bagi hari dan bulan-bulan yang mendatang untuk menaiktarafkan pengabdian kita pada Allah S.W.T, sedarlah TUHAN RAMADHAN dan TUHAN SYAWAL itu adalah TUHAN YANG SAMA, dan kita selama-lamanya adalah TETAP HAMBA.
MERDEKA DI 1 SYAWAL, APA YANG DIRAIKAN??
Allah berfirman di dalam Al-Quran :
(beberapa hari yang ditentukan itu ialah) bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda (antara yang hak dan yang bathil). Karena itu, barangsiapa di antara kamu hadir (di negeri tempat tinggalnya) di bulan itu, Maka hendaklah ia berpuasa pada bulan itu, dan barangsiapa sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), Maka (wajiblah baginya berpuasa), sebanyak hari yang ditinggalkannya itu, pada hari-hari yang lain. Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu. dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu MENGAGUNGKAN ALLAH (BERTAKBIR) atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur.
Al-Baqarah : 185
di pagi syawal takbir di alun-alunkan, takbir yang bermaksud ‘Allah Maha Besar/Allah adalah yang Terbesar’ maka disebaliknya ia bererti segala yang lain adalah kecil dan perlu dipinggirkan apabila bertembung dengan sifat dan kehendak Allah S.W.T.
Namun malangnya laungan-laungan takbir yang dilaungkan umat manusia pada hari ini kebanyakan adalah retorika semata-mata yang menjadi adat dan budaya manusia kebanyakan di Aidilfitri, terlalu sedih apabila laungan ini dialunkan oleh pembohong-pembohong dan pendusta-pendusta yang bukan sekadar tidak membesar-besarkan Allah S.W.T bahkan apa yang lebin hina laungan Takbir itu dijadikan hamparan dan peluang untuk men’takbir’kan (membesar-besarkan) diri dengan sifat ‘ujub dan riya’, menunjuk-nunjuk pakaian-pakaiain yang mahal, membazir dengan tujuan bermegah dengan kemewahan, mengalunkan takbir dengan suara yang merdu hanya bertujuan untuk mendapat puji-pujian dan pelbagai lagi ‘versi takbir’ yang menjadi noda di pagi syawal.
Maka di Syawal ini Apakah hakikat sebenar yang diraikan?
Apakah Signifikasi Aidilfitri sehingga kita diharamkan berpuasa sekalipun ia adalah ibadat?
Apakah kegembiraan dan keraian kita di pagi Syawal, adalah seperti ‘orang gila’ yang tidak tahu dan mengerti apa-apa? Gilakah kita?
Adakah kita terlupa bahawa Syawal itu adalah kesinambungan dari Ramadhan yang merupakan satu medan peperangan untuk mencari sebuah kemerdekaan, bukan kemerdekaan dari British dan Jepun namun kemerdekaan dari jajahan SYAITAN dan NAFSU
Allah telah berfirman di dalam Al-Quran mengenai janji iblis dan perihal nafsu
"Iblis berkata: Ya Tuhanku, oleh sebab Engkau Telah memutuskan bahwa Aku sesat, pasti Aku akan menjadikan mereka memandang baik (perbuatan ma'siat) di muka bumi, dan pasti Aku akan menyesatkan mereka semuanya”
Al-Hijr : 39
23. Maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhannya dan Allah membiarkannya berdasarkan ilmu-Nya* dan Allah Telah mengunci mati pendengaran dan hatinya dan meletakkan tutupan atas penglihatannya? Maka siapakah yang akan memberinya petunjuk sesudah Allah (membiarkannya sesat). Maka Mengapa kamu tidak mengambil pelajaran?
*maksudnya Tuhan membiarkan orang itu sesat, Karena Allah Telah mengetahui bahwa dia tidak menerima petunjuk-petunjuk yang diberikan kepadanya.
Al-Jatsiyah : 23
Insan yang terjajah adalah mereka yang tidak dapat melepaskan diri dari petunjuk nafsu dan Iblis, maka mereka akan semakin jauh dari Allah S.W.T, dan mereka jugalah yang bertuhankan Nafsu dan bertuankan Syaitan, mereka celik namun hakikatnya buta, mendengar tapi hakikatnya tuli, dan jahil dan bodoh walau berilmu.
Ramadhan yang lalu juga seharusnya menjadi kayu ukur kepada diri kita setelah 11 bulan didampingi syaitan, maka disinilah pentas untuk kita mengukur kecenderungan diri yang HAKIKI…. adakah diri kita cenderung terhadap amal soleh ataupun tujah kepada perkara-perkara yang maksiat? arakian ketika ini iblis dan syaitan telahpun di tangkap dan dipenjarakan, urat-urat saraf telah disempitkan dengan berpuasa untuk menghalang laluan syaitan, maka tiada lagi alasan ketika ini untuk dijadikan sandaran dan alasan. Sesungguhnya berbahagialah bagi mereka yang berjaya merdeka dari penjajahan Iblis dan nafsu,
namun awas!! Bagi mereka yang tetap mahupun kembali pada kejahilan dan menyertai seruan syaitan sesungguhnya Allah telah berfirman :
Seumpama Syaitan ketika ia berkata kepada manusia: “Kufurlah engkau!” Lalu apabila orang itu kufur, berkatalah Syaitan kepadanya: “Sesungguhnya aku adalah berlepas diri daripadamu, kerana sebenarnya aku takut kepada Allah, Tuhan yang Menguasai seluruh alam!” Maka kesudahan keduanya, bahawa mereka (Syaitan yang mengajak dan manusia yang kufur menerima ajakan) ditempatkan di dalam neraka, kekal mereka di dalamnya. dan yang demikian itulah balasan makhluk-makhluk yang zalim (Al-Hasyr: 16-17)
Sesungguhnya Ramadhan diselangi dengan Syawal adalah untuk mendidik kita, kita disekat untuk menikmati barang kepunyaan sendiri, makanan yang lazat dan enak diharamkan ketika berpuasa, minuman yang menyegarkan kita ditegah untuk meminum pada beberapa ketika
Semua itu adalah pelajaran Ramadhan untuk mengajar kita berkata TIDAK kepada KEHENDAK.. agar kita mengerti apa itu MENGAWAL bukan DIKAWAL..
Berjayakah kita dalam menguasai diri agar tidak dikuasai nafsu? Mampukah kita mengawal keinginan kepada perkara-perkara yang tidak baik, sebaliknya sentiasa terkawal dalam memilih antara baik dan buruk?
Oleh itu inilah sebenar-benarnya kejayaan yang diraikan, kegembiraan dengan TAKBIR yang dilaung-laungkan, kemerdekaan dari bebas penjajahan nafsu dan syaitan maka inilah sebaik-baik kejayaan..
Demi diri manusia dan Yang menyempurnakan kejadiannya. Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertaqwa; – Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya bersih. Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat).
al-Syams : 7-10
Merdekanya manusia dengan kemenangan yang hakiki dan kembali kepada Asal Fitrah yang bersih.
Konklusi
Maka kesimpulnnya, perbanyakkanlah alunan zikir, takbir, tasbih dan tahmid pada kali ini dengan penghayatan, bukan dengan versi adat istiadat mahupun versi mentkabirkan diri sendiri, jadikan ramadhan itu sebagai sebuah Universiti dan syawal itu sebagai hari Graduasi, kemenangan yang diraih diraikan dalam majlis konvokesyen yang begitu gilang gemilang, dan apa yang pasti beramallah di bulan-bulan yang seterusnya dengan lebih hebat dari amalan di bulan ramadhan, seperti mana yang telah diungkapkan oleh Saiful Islam, “bekerja keras lah semasa hidup, untuk mebolehkan kita berehat semasa mati, janganlah banyak berehat semasa hidup sehingga menyebabkan kita dikerjakan selama mati!”
Sama-sama kita TOPUP amalan dengan perbanyakan ibadah, REDEEM pahala sebanyak yang mungkin, UPGRADE amal soleh semampu yang boleh, untuk kita beroleh KREDIT dalam mengecapi syurga, hingga tiba disuatu saat kita mampu berONLINE dengan Tuhan alam semesta. Aminn...
daripada Abi ‘Umar (ada yang memanggilnya Abi ‘Amrah) bin ‘Abdillah radhiyallaahu ‘anhu beliau berkata: Aku berkata, “Wahai Utusan Allah, katakanlah buatku berkenaan Islam perkataan yang aku tidak lagi perlu bertanya kepada sesiapa selainmu.” Kata Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam, “KATAKANLAH AKU BERIMAN DENGAN ALLAH DAN KEMUDIAN BERISTIQAMAHLAH KAMU”
[Hadith diriwayatkan oleh Muslim]
"kunu RABBANIYUN.. wala takunu RAMADHANIYUN"
(jadilah kamu orang-orang RABBANI,
dan jangan menjadi sekadar orang-orang RAMADHANI)
Al-Adh’af wal afqar ‘Abdu ilallah
Muhammad Khairi b. Awang Jaafar