PENA LADING

Pena-Lading : lading diguna bukan untuk menyerang, namun menyerang (mempertahan) apabila diserang, mempertahan itu fitrah insan, namun menyerang itu sifat binatang..

"Parang Lading adalah satu senjata rasmi Silat Cekak (cekak hanafi,cekak malaysia,pusaka cekak hanafi), bagi pengamal silat cekak senjata ini sememangnya tidak dapat digunakan untuk mula menyerang, namun cukup ampuh dan berkesan apabila diguna untuk menyerang (mempertahan) ketika diserang"

bersesuaian dengan ISLAM itu sendiri yang tidak menggalakkan umatnya memulakan kerosakan, pertempuran, perpecahan dan pergaduhan sesama manusia, namun, menggalakan umatnya bersiap sedia menghadapi sebarang bentuk bahaya dan serangan yang mendatang...

menyerang tatkala diserang,menyerang bukan sebarang, menyerang untuk kebenaran, menyerang untuk menegakkan keadilan...

"seGERAK seARAH"


Catatan Hembusan Cinta Dataran Syam (siri 1) : Memaknakan Sebuah Kehidupan…

>> Wednesday, November 4, 2009

Masjid Umawi, Damascus
(ada sumber mengatakan melalui menara masjid ini lah nabi Isa a.s akan diturunkan di akhir zaman)

Pernah pada satu ketika saya berbual-bual tentang Cita dan Impian secara tidak langsung bersama Azan dan A.Khalidi di dalam satu halaqah , perbualan yang pada mulanya saya kira sekadar jenaka untuk mengisi masa kosong namun disebaliknya ada impian untuk memaknakan sebuah kehidupan..



Saya kira mungkin inilah indicator atau kayu ukur pada kami dalam menggariskan sempadan matlamat melalui imaginasi dan impian untuk direalisasikan…
Arakian mungkin terpengaruh dengan bahan-bahan penulisan ulama’ syam, maka ‘ibrah dan khibrah ini juga yang bertaut dalam hati kami untuk melahirkan satu ekspresi dari ‘ketaksuban’ dari kehebatan ulama-ulama’ ini..


Antara topik perbualan yang hangat dibicarakan adalah berkenaan biografi ulama’, sedang asyik berbual tiba-tiba terpacul dari mulut azan “satu hari nnt ana nak jadi macam Imam An-Nawawi, kalau di Syria ada Syeikhul Islam Imam An-Nawawi, biarlah ana sekurang-kurangnya menjadi Syeikhul Islam Malayzi, pewaris Imam Nawawi di Malaysia..”

saya menjawab spontan, berbicara sekadar memotivasikan jiwa yang ketinggalan “..pada ana, ana lebih cenderung untuk menjadi seperti As-Syeikh Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali, kehebatannya yang pakar dalam bidang Feqah dan Tasawwuf, dan yang terpenting beliau adalah perintis Ilmu Falsafah Islam,Pemikiran, Ilmu Logik dan Perbandingan yang teramat ana minat, maka biarlah ana suatu ikut jalannya utk menjadi Hujjatul Islam Malayzi..”

Mungkin setelah provokasi dan pandangan yang dikeluarkan dalam halaqah tersebut , syahidnya perbincangan kami hari ini lebih cenderung kepada memaksimakan kompentensi diri dan menyedari matlamat yang jelas..

Matlamat yang jelas kunci kepada sebuah hala tuju kehidupan, matlamat yang jelas merupakan monolog dan komunikasi dalaman untuk memberi motivasi dalam meneruskan kehidupan…

MATLAMAT YANG JELAS

Saya begitu tertarik dengan Sultan Muhammet Al-Fateh, susuk tubuh yang diasuh,terasuh dan mengasuh didalam matlamat yang jelas.. matlamat untuk menawan Costantinople.. maka hadis yang disabdakan mengenai sebaik-baik tentera dan sebaik-baik ketua yang merupakan matlamatnya diulang ribuan bahkan jutaan kali.. bermula dengan bisikan sewaktu di hari kelahiran beliau, seterusnya dialun2kan di dalam medan peperangan, dialunkan juga pada seluruh tentera dan latihan ketenteraan, diucapkan dalam setiap perkara dan perbuatan.. akhirnya tanggal 1453M Constantinople telah Berjaya ditawan…


لتفتهن القسطنطنية علي يد رجال فلنعم الأمير اميرها فلنعم الجيش ذالك الجيش

Begitu juga dengan Abi Ayub Al-Ansari, ayat 41 surah At-Taubah menjadi permainan dan ulangan di lidah beliau, diulang dan diulang hanya kerna satu matlamat yang jelas.. menjadi sebahagian dari ahli yang bakal meruntuhkan tembok Konstantinople, akhirnya impian dan citanya terlaksana, menjadi syuhada’ yang menyaksikan keruntuhan Tembok Constantinople.. maka matlamat mereka ini telah jelas dan tercapai..

MEMAKNAKAN SEBUAH KEHIDUPAN

Pernah ketika saya bermonolog sendirian dan juga menyuarakan kepada beberapa teman, kehadiran saya di Bumi Syam mempunyai 2 sasaran utama.. yang pertama saya ingin beroleh ketundukan jiwa dan yang kedua saya ingin mendalami sekurang-kurangnya asas kepada 6 subjek, Al-Quran, Luqah Al-Arabiah, Tasawwuf, Feqah, Tauhid dan Usul Fiqh.. maka itulah matlamat asas saya disini.. matlamat untuk memaknakan sebuah kehidupan.. Meninggalkan dunia siasah melalui ‘realiti.. terjun ke dunia siasah melalui ‘teori’..

penulis menyampaikan pengisian di sebuah kem motivasi (siasah realiti)



Antara kebimbangan saya ketika mula menjejak ke Bumi Syam, adalah semangat yang akan luntur kerana kurangnya motivasi dan dinding untuk saya bersandar, justeru saya terlalu mengharapkan individu yang bersedia untuk menegur andai langkah saya tersalah… Alhamdulillah saya terlalu bersyukur diri kerana dikurniakan teman-teman yang baik.. saya terlalu malu dan rendah diri apabila diri yang penuh dosa dan noda ini dikelilingi oleh mereka yang sangat prihatin terhadap jiwa yang sering bermaksiat ini

Saya berterima kasih kepada individu-individu yang banyak mendorong diri yang terlalu lemah dan dhoif ini, mereka yang banyak saya jadikan sandaran untuk terus ‘hidup’ dan bertapak di bumi Syam… individu yang banyak saya mengemis secebis kasih untuk terus bertatih dgn kehidupan baru.. terima kasih buat Abg Khalidi yang prihatin kehidupan dgn masalah-masalah saya di Tanah Syam dan sering membenihkan nafas baru buat saya.. Abg Farid Faizul yang banyak menjernihkan pemikiran dan fikrah serta membantu saya dalam menguruskan pembelajaran, terutamanya dalam urusan memulakan pengajian di Mujamma’ Fatah Al-Islami… Ust.Wan Noor yang merupakan Sifu di permulaan saya berjinak-jinak dalam bertalaqqi kitab dan Murabbi saya terhadap segala permasalahan dalaman dan konflik diri, juga A.Nasir yang sering memberi taujihat dan kekuatan untuk terus saya istiqamah dalam perjuangan..

Maka dengan hasil dorongan mereka inilah saya begitu terharu kerana sedikit sebanyak dapat memaknakan sebuah kehidupan disini.. mampu untuk saya terus kepada matlamat yang ingin saya kecapi, menukarkan impian kepada realiti dgn sedikit kekuatan yg ada…

Alhamdulillah kini saya sangat bersyukur kerana mempunyai bebearapa pembimbing yang setia… dalam bidang Luqah Al-Arabiah, Nahu dan Sorof saya dibimbing oleh naqib saya Abg Yusof, kitab Qatrunnada dan Durus Nahwiyah menjadi lembaran rujukan setiap hari selepas solat subuh, saya begitu malu dgn beliau yang sanggup memperuntukkan masa setiap hari kerana semata-mata ingin membantu saya menguasai Bahasa Arab dan Nahu dengan baik.. ditambah lagi a.yusof turut menawarkan dan ingin membedah bersama saya kitab Qawa’idul Fiqhiyyah yang membincangkan tentang formula-formula dan asas terpenting untuk mengeluarkan hukum Feqah dan Kitab Tahzib lil Matan Jauharah yang membahaskan ttg soal ketuhanan dan ketauhidan.. malah selepas ini a.yusof berjanji setelah selesai kitab-kitab ini dia ingin membawa saya untuk terus membaca dan memahami ilmu sorof insyaAllah..



Dalam bidang Feqah saya memulakan pengajian talaqi secara Khususi bersama dengan Syeikh Anas bersama beberapa sahabat, Al-Fadilah As-syeikh memilih kitab Hadithul Ahkam Bulughul Maram karangan Imam Ibnu Hajar al-Asqalani (dan merujuk Kitab ‘Ilamul Anam) sebagai permulaan, saya merasakan begitu teruja, gembira dan sangat obses dengan syarahan dan penjelasan masalah-masalah yang dilampirkan terutamanya dalam muqaranah mazahib dan khilaf muhadithin dan fuqaha’, As-Syeikh menyampaikan di dalam bentuk terang dan jelas mengikut kadar kemampuan kami untuk memudahkan syarahannya dapat di fahami sekalipun menggunakan Bahasa Arab, disamping bersama dengan syeikh anas, saya mengikuti kelas tafaqquh Kitab Tanwir Al-Masalik bersama pengarangnya Dr.Syeikh Mustafa Dib Al-Bugho (salah seorang pengarang kitab Fiqh Manhaj lil mazhab Imam AS-Syafie) dan Kitab Muktamad Mazhab Syafie - Minhaj At-Tholibin karangan Imam An-Nawawi Rahimahullah bersama Syeikh Abdul Halim… semoga pengisian kepada jiwa yang kosong lagi teramat faqir ini dapat dijernihkan dgn mutiara ilmu Allah..
Pada mulanya saya telah memulakan pengajian kitab Tahzib lil matan Abi Syu’ja (fiqh) dan Matan Waraqat (usul fiqh) bersama ‘tok guru’ Wan Noor seawal menjejak kaki ke Dataran Syam, namun pengajian terpaksa ditangguhkan kerana pertindihan Jadual pengajian rasmi di sini, begitu juga dengan Tasmi’ Al-Quran di dalam Riwayat Hafs bersama Syeikh Abdullah Haqqi, bagaimanapun saya merancang akan menyambung pengajian yang tertangguh ini tidak lama lagi..

Saya terlalu dan amat berhajat untuk memulakan pengajian di dalam bidang Tasawwuf dan sehingga kini masih tercari-cari, Demi Allah jiwa ini terlalu kotor dan hina untuk bergelar ‘Hamba Allah’.. saya terlalu berharap kepada Murabbi yang Mursyid untuk membantu saya membersihkan corong-corong hati yang penuh dengan daerah zulmat.. menyedarkan saya ttg hakikat seorang hamba.. untuk saya tetap rasa beriman, sentiasa rasa bertuhan..

Syukur pada Allah baru-baru ini saya mendapat peluang dan waktu untuk memahami Kitab Ihya’ Ulumuddin (Imam Ghazali Rahimahullah) dan Risalah Qushairy bersama As-Syeikh Abu Ghudah atau Syeikh Ramadhan Al-Bouty..


Syeikh Ramadhan Al-Bouty (di perkarangan Masjid Umawi)



Moga jiwa yang ketandusan ini dapat disuburkan dengan keberkatan ilmu di bumi Syam..
Moga cita dan impian saya suatu hari nnt dapat direalisasikan…
Moga saya mewarisi kefaqihan Syeikhul Islam Imam Al-Ghazali dan Muhammad Al-Ghazali..
Moga saya berjaya memaknakan sebuah kehidupan

Amin Ya Allah, Amin Ya Rabbal ‘Alamin..

bukanlah penulisan ini untuk meng’ujubkan diri yang hina, jauh sekali untuk membesar-besarkan saya yang teramat-amat lemah, faqir dan dhoif ini.. namun bagi diri saya penulisan ini sesungguhnya langsung tidak lebih dari perkongsian bersama para sahabat-sahabat, seandainya pilihan saya ini adalah baik pada pandangan kalian, maka saya mengharapkan secicip doa dari seluruh sahabat sebagai bekalan saya di atas jalan ini.. apa yang membimbangkan, saya cukup gusar dengan persepsi-persepsi negatif yang mampu merosakan diri,

usahlah ‘menghantar’ saya ke neraka dengan pujian..

apatah lagi ‘menghantar’ saya ke neraka dengan kebencian..

moga perkongsian kegembiraan ini mempunyai manfaat bersama…


Di Kanisah Bosra (Tempat pertemuan nabi S.A.W dan paderi Buhaira)


Ya Allah ampunkanlah hamba Mu ini..
Hamba yang sekadar beroleh kekuatan dari Mu melalui tinta IQRA’ dan KALAM
Hamba yang menitip titis kasih Mu dari daerah yang Kelam..

Ya Allah..
Inilah hamba yang pernah ‘bersyirik’ pada Mu dengan takabbur,
kini bersujud untuk mentakbir..
Mentakbirkan diri Mu Tuhan yang satu..

Ya Allah..
Jadikan aku Hamba yang selayaknya bergelar ‘HAMBA pada MU’
Ranaplah dariku dari Istana Nafsu yang menipu..

Ya Muqallibal Qulub..
kau kurniakan lah aku ketundukan Hati dan Jiwa..
Dan aku selama-lamanya adalah HAMBA…

Telaga Nabi Ayub

"... Aku bukanlah LUQMAN yang hebat menasihati dan memberi peringatan .. Ralit gelita jalanku dulu pernah ada mengharapkan AL-QURAN, Ada sirna perdu jiwaku dulu, SUNNAH jua benteng sandaran, kini bukan jua ku menulis sekadar menggantung angan-angan, namun sekadar secicip usaha untuk menTAUHIDkan seorang insan, insan bernama hamba untuk kita sama kembali berTUHAN ... "

p/s : sebenarnya saya pun masih terfikir knapa saya menulis post ini.. pelik dan kehairanan.. yg pasti saya masih tersenyum kebingungan.. ?????


Read more...

  © Blogger template Simple n' Sweet by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP